Friday, August 19, 2011

Khas untuk Puteriku AIMY NUR QAIREEN CHO


Ini adalah nukilan hati aku untuk puteriku, AIMY NUR QAIREEN CHO. Andai kamu rasa mahu membacanya, silakan. Andai kamu rasa tiada apa2 untuk kamu, abaikan n3 ini. Ini hanyalah untuk puteriku sempena usianya yang setahun. Semoga ruang ini akan berkekalan sehingga puteriku mengerti nukilan hati ibunya ini.


Adik,
Menyambut usia setahun, adik tiada di sisi mama. Adik nun jauh di kampung. Mama tak gembira. Mama mahu adik di sisi mama pada hari ini. Mama mahu bertepuk tangan sambil menyanyikan lagu hari lahir bersama-sama papa, abang dan kakak. Sebiji kek kecil untuk kita rasai bersama-sama sudah memadai. Usia adik pada hari ini belum lagi mengerti tentang sambutan hari lahir, erti sebiji kek tetapi bagi mama ia sangat memberi makna.

Kedatangan adik ke dalam keluarga kita amat dialu-alukan. Mama minta maaf kalau suatu hari adik sedari tiada foto adik di sisi mama dan papa pada hari sambutan hari lahir adik sambil memotong kek yang dihiasi sebatang lilin menandakan setahun usia adik. Mama dan papa mencari rezeki di sini. Mama terpaksa menghantar adik sementara ke kampung atas sebab2 tertentu.

Adik,
Mengenang kisah kelahiran adik, mama rasa sangat bersyukur kerana semuanya berjalan lancar. Kelahiran adik sangat mudah. Dan adik sangat bertuah kerana papa ada bersama-sama di sisi mama saat kedatangan adik ke dunia! Papa melihat adik dahulu sebelum mama. Berbanding abang dan kakak, papa melihat mereka setelah hampir sehari abang dan kakak datang ke dunia.

Day 1 - @hospital serdang

Adik seperti tidak sabar mahu lahir ke dunia, kerana mama tidak sempat mengambil cuti untuk pulang ke kampung melahirkan adik. Adik mahu menjadi warga Selangor rupa2nya. Alhamdulillah mama dapat melaksankannya dengan sempurna walaupun tok ma tidak menemani mama seperti mama melahirkan abang dan kakak. Mungkin semangat daripada papa yang dibenarkan bersama-sama mama ketika sakit.

Adik,
Mama jangkakan adik akan lahir pada 18hb, iaitu tarikh mama mula mendapat tanda mahu melahirkan adik. Kalau adik lahir 18hb, menjadi deretanlah tarikh kelahiran kalian. Abang 16hb, kakak 17hb, adik 18hb, tapi rupa2nya tidak menjadi. Adik lahir 19hb. Tidak mengapa, tidak penting pun bila tarikh kalian dilahirkan yang penting anak2 mama semuanya sihat semasa dilahirkan.

Adik dilahirkan pada pagi hari khamis, jam 8.09 pagi dengan berat 3.09kg. Saat mendengar tangisan pertama adik, hilang segala kesakitan mama. Sungguh ajaib! Kuasa Allah swt, itulah dia. Yang mama rasa hanyalah keletihan kerana hilang banyak tenaga. Melihat senyuman papa dan ucapan terima kasihnya, mama jadi bersemangat.

Saat dilahirkan, adik sangat baik. Pada mulanya mama cuak juga kerana tok ma tak ada, buatnya adik menangis, mama nak buat macam mana. Risau, takut, gelabah, semua ada. Petangnya mama dan adik dibenarkan pulang. sekali lagi syukur, adik tidak menangis pun berada di rumah. Dan esoknya kita pulang ke kampung! Nasib baik semuanya selamat. Pssst, adik, pagi sebelum pulang ke kampung, mandi adik tak sempurna sebab mama ngan cik noli kekok nak mandilan adik. Adik pula nangis sungguh2 masa ni. Jadinya kami mandikan adik ala kadar saja. Esoknya, barulah sempurna adik dimandikan tok ma.

Hari keempat adik kena tahan di wad. Sebabnya jaundis (penyakit kuning) adik tinggi. Bergenang-genang air mata mama tiap kali adik kena cucuk untuk ambil darah. Adik paling kuat jaundis banding abang dan kakak. Entahlah, apa salah mama makan masa mengandungkan adik. Susu mama pun kurang, mungkin sebab tu adik sampai kena letak bawah cahaya di wad. Nasib baik satu malam saja kita di wad. Dan satu malam tu mama tak tidur dan tak makan kerana adik akan menangis bila mama letak bawah cahaya. Adik hanya mahu tidur bila mama pangku. Sakit pinggang hanya Tuhan tahu kerana mama tak boleh baring, hanya duduk selama berada di wad. Tak mengapa kerana adik membesar dari sehari ke sehari menjadi kanak2 yang sangat comel di mata mama.

Bawah cahaya biru - sedih sungguh mama taim ni..

Selepas sebulan lebih di kampung, mama membawa adik pulang ke rumah kita, menghabiskan cuti mama. Alhamdulillah adik mudah diurus. Adik tidak banyak kerenah dan sangat senang dijaga sehinggalah hari ini. Mama doakan puteri mama ini akan menjadi seorang yang disenangi sesiapa sahaja.

Adik,
Maafkan mama sekali lagi kerana tiada di sisi adik pada hari ini. Namun, pada hari ini mama tetap menyambutnya walaupun bersedirian. Tiada kek, tetapi doa. Mama doakan puteri mama ini membesar menjadi anak yang berguna, bijak, patuh dan taat kepada Pencipta. Mendengar cakap, hormat orang tua dan tidak mementingkan diri. Mama hanya mahu puteri mama menjadi yang baik2 saja. Bijaklah menangani masalah dunia, janganlah kalah kepada duniawi kerana itu semua hanyalah sementara. Kehidupan akan menjadi indah kalau kita pandai mengawalnya.

 Senyuman adik yang pertama kali mama berjaya snap!

Mama tidak pandai berbahasa, mama harap puteri mama ini faham maksud mama. Mama dan papa bukan orang kaya, mama dan papa miskin harta. Tapi mama tidak mahu kerana kemiskinan mama dan papa menyebabkan anak2 mama turut miskin. Walaupun mama tak mampu memberi wang ringgit, tapi mama akan berusaha memberi ilmu kepada anak2 mama. Bagi mama, ilmulah harta yang tiada tolok banding, lebih bernilai dari wang ringgit.

SELAMAT HARI LAHIR SAYANG MAMA. SELAMAT MENYAMBUT USIA SETAHUN.

Membesarlah sebagai kanak2 yang ceria dan gembirakanlah orang2 yang menyayangi adik. Diusia setahun adik sudah pandai bertatih. Lebih awal banding abang dan kakak. Syabas, puteri mama!

 Aimy Nur Qaireen Cho




InsyaAllah raya nanti kita celebrate birthday adik.

2 comments:

Jiejah @ Iza said...

hepi besday si comel qaireen ;-))

Izza said...

macih, auntie...:)

Klik Me

Klik! Klik!